Saturday, June 19, 2010

Keluarga seni Yusof Gajah Oleh Fairuz Zaidan

Keluarga seni Yusof Gajah
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
BERITA HARIAN 2010/06/19


Meraikan Hari Bapa, esok, XY - Ikon Lelaki menyelami kehidupan keluarga seni, Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai ‘Yusof Gajah’. Seperti mana perumpamaan ‘ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’, begitulah kesinambungan legasi pelukis tersohor ini yang menjadi ikutan anak-anaknya, Abdul Aziz dan Muhammad Hasbullah
IKON gajah yang ditonjolkan lelaki berusia 56 tahun ini cukup besar ertinya dalam kehidupan seharian. Bukan setakat lukisan naif yang sarat elemen kekeluargaan, cetusan warna mendamaikan cuba diterjemah personaliti ini dalam pelbagai versi kanvas, buku cerita kanak-kanak dan hasil seni kreatif lain.
Itulah keunikan Yusof Gajah yang sinonim dengan karektor gajah seperti yang dilihat dalam pelbagai karya termasuk buku kanak-kanak yang dikarangnya. Sempena Hari Bapa, sisipan ini tampil dengan perspektif berbeza iaitu menyelami kehidupan anak kelahiran Johol, Negeri Sembilan ini bersama keluarga seninya.

Apa yang nyata, bukan pelukis tersohor ini saja mencipta gemilang, legasi seni dirinya turut dikongsi tiga anaknya, Nuryusniza atau (Jaja), 27; Abdul Aziz (Jojo), 25; dan Muhammad Hasbullah (Jiji), 15. Andai Jaja dan Jojo lebih cenderung dalam bidang seni lukis, minat Jiji pula lebih terarah dalam bidang penulisan cerpen berbahasa Inggeris.

Mengulas kelangsungan legasi seni dalam keluarga Yusof Gajah, tokoh seni terkenal ini menyimpulkan beliau tidak pernah membentuk setiap karektor atau minat dalam diri anak-anak, melainkan lebih gemar memberikan kebebasan memilih haluan yang sesuai.

Baginya, sebagai bapa beliau cuba memberi peluang dan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak untuk memilih subjek atau mengikut kehendak diri sendiri. Namun, baginya, biarlah setiap keputusan itu memajukan diri sendiri.
“Saya cukup menekankan amalan membaca di kalangan anak-anak. Sejak mereka kecil lagi saya sudah memupuk amalan ini.

“Jika kamu perhatikan di rumah saya, hampir setiap sudut akan ada rak buku. Ini membuktikan pentingnya buku yang cukup saya hargai,” katanya yang baru saja bergelar datuk, Isnin lalu selepas Jaja selamat melahirkan anak perempuan yang juga menjadi cucu pertama keluarga seni itu.

Ikuti temubual bersama Yusof Gajah mengenai kehidupan bergelar bapa, pengalaman membesarkan anak-anak dan pandangan mengenai Jaja, Jojo dan Jiji...

Boleh anda ceritakan serba sedikit perjalanan hidup menjadi bapa?

Selama 28 tahun berkahwin dan 27 tahun bergelar bapa, bermacam pengalaman saya dan isteri, Zakiah Mohd Isa, lalui. Jika hendak diikutkan, saya memang sukakan kanak-kanak dan pernah bekerja di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Yayasan Sabah.

Kehadiran cahaya mata menambah seri dalam keluarga. Melihat perkembangan anak-anak di depan mata memang cukup menggembirakan. Sebagai ibu bapa saya tidak pernah menyekat pilihan anak-anak kerana dunia sudah berubah.

Anda ingat detik pertama menjadi bapa?

Jaja dan Jojo dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah. Ingat lagi, ketika kelahiran Jaja 27 tahun lalu, saya dan isteri adalah ibu bapa muda dan bersendirian di Sabah sewaktu menyambut kelahiran anak sulung kami.

Namun, kami bersyukur kerana jiran-jiran umpama keluarga dan banyak membantu.

Bagaimana agaknya cabaran membesarkan anak-anak?

Harus diingat, anak-anak zaman sekarang tidak seperti dulu. Seperti mereka sekarang, segala-galanya ada di depan mata sejak mereka lahir. Sedangkan, kita dulu tidak pula begitu.

Zaman saya dulu, kalau nak telefon, kita kena cari sendiri 10 sen tetapi mereka lebih mudah sekarang ini. Bagi saya, cabarannya ialah kita kena menyelami kehidupan mereka dan memahami apa keinginan mereka. Saya sentiasa menerapkan amalan rajin dan disiplin untuk mereka menjadi manusia berguna dalam hidup.

Boleh anda simpulkan karektor setiap anak-anak dari Jaja, Jojo dan Jiji?

Jaja: Bagi saya Jaja seorang anak yang memiliki kemahuan cukup kuat serta kreatif dalam setiap perkara diceburinya. Saya ingat lagi ketika dia baru berusia sembilan tahun di mana pada usia itu, dia sudah pun mengumpulkan sebanyak 100 sajak membuktikan kesungguhan dirinya. Dia juga mempunyai potensi cerah dalam bidang seni lukis.

Jojo: Dia agak sensitif dan pendiam. Bagi saya, Jojo cukup bersungguh kalau dia ingin mencapai impiannya. Tetapi suruhlah 100 kali pun belum tentu dia mahu jika dia tidak hendak. Apa yang dapat saya gambarkan, Jojo masih dalam proses mencari jati dirinya sebagai pelukis. Saya tidak pernah memaksa dirinya dan kini pula dia baru saja bekerja. Ini kerana apa yang terbaik untuk anak-anak, begitu jugalah dengan diri saya.

Jiji: Jarak 10 tahun dengan Jojo membuatkan perhatian sudah tentu banyak pada Jiji. Saya dapat lihat karektornya yang agak berdikari dan ingat lagi ketika usia Jiji empat tahun di mana dia cukup sibuk mempromosikan galeri saya yang ketika itu di Kompleks Kraf. Setakat ini, saya dapat melihat kecenderungan dirinya dalam bidang penulisan serta pernah menjadi naib johan dalam pertandingan bahas peringkat negeri Selangor. Saya sentiasa menyokong kemahuan anak-anak dan sentiasa mencabar kemampuan mereka untuk berjaya.

Apa agaknya pendekatan yang anda gunakan ketika membesarkan anak-anak?

Ia begini... Saya tidak pernah memarahi atau membuatkan anak-anak takut dan gerun apabila berdepan dengan saya. Malah, jika hendak dikatakan mereka naik segan kepada saya.

Saya cukup menekankan didikan yang boleh menjadikan mereka sebagai manusia bertanggungjawab. Apatah lagi sekarang ini, lepas ibu bapa yang memasuki fasa 55 tahun ke atas, kita perlu juga mengambil tahu perkembangan semasa.

Malah, walau Jaja sudah berkahwin sekali pun, sebagai bapa saya masih mesra dan mengalu-alukan dia untuk sering bersama kami sekeluarga.

Adakah keluarga anda meraikan Hari Bapa?

Di Malaysia ini memang cukup banyak dengan sambutan. Saya tidak kisah dengan itu semua kerana bagi saya yang penting sekali siapa individu di sebalik tarikh itu sendiri.

Apatah lagi sekarang bentuk perhubungan tidak terbatas untuk bertemu depan mata kerana dengan komputer komunikasi cukup mudah.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini, bagaimana perjalanan seni anda buat masa ini?

Saya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi satu projek. Pada masa yang sama, banyak agenda disusun di dalam dan luar negara seperti Pameran Ilustrasi Buku Kanak-Kanak di Galeri Petronas pada Julai, Folk Art Festival di Kota Kinabalu Sabah pada 19 Julai dan Peace Story Nambook di Korea Selatan pada September nanti.

Saya juga terpilih bersama lima selebriti tanah air untuk mereka bentuk loket untuk Royal Selangor bersempena dengan sambutan 125 tahun Royal Selangor.


Jojo & Jiji anak ayah!

BAPA kami cool! Begitulah gambaran yang diberi Jojo dan Jiji apabila menyentuh karektor dan keperibadian Yusof Gajah yang menjadi idola mereka sekeluarga. Sikap Yusof Gajah yang cukup sederhana dan berjiwa penyayang menjadikan hubungan bapa-anak cukup mesra.

Sebagai anak lelaki sulung, Jojo yang kini berusia 25 tahun berkata, karektor tersendiri yang ditonjolkan bapanya itu membuatkan anak-anak menyanjung tinggi hingga mengikuti jejaknya dalam dunia seni.

“Bapalah mentor, kawan baik dan cikgu yang banyak mendorong Jojo untuk lebih berjaya dalam hidup. Keperibadian beliau yang tinggi dalam mendidik anak-anak membuatkan hubungan kami adik beradik cukup mesra.

“Seingat saya, belum pernah pun ayah memukul saya andai ada melakukan kesalahan. Sebaliknya, pendekatannya berbeza dan banyak bermain soal psikologi dalam memberi sebab dan akibat kesalahan yang sudah dilakukan,” katanya yang semakin menyinar dalam karya pop arts.

Mengulas lagi hubungan dirinya dengan Yusof Gajah, Jojo berkata, dia secara peribadi lebih gemar membincangkan pelbagai perkara termasuk masalah peribadi dengan bapanya itu berbanding ibu kerana atas faktor gender serta faktor hubungan bapa dan anak lelaki.

“Jika soal peribadi atau menyentuh mengenai hubungan saya dan kawan-kawan, memanglah banyak dikongsi bersama bapa. Ini kerana dia akan memberikan pelbagai pandangan serta perspektif yang mungkin tidak kita fikirkan.

“Tapi kalau nak tahu, saya ini anak mama dan lebih bermanja dengan mama,” katanya yang baru saja beralih angin untuk bekerja sebagai pembantu teknikal di sebuah syarikat swasta Singapura berpangkalan di Damansara, Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari pengalaman baru.

Sementara itu Jiji yang turut ditanya mengenai keperibadian bapanya menyimpulkan keunikan karektor dan pembawaan diri tokoh pelukis itulah yang menjadikan bapanya cukup disenangi ramai.

Anak bongsu ini juga menyatakan dia dapat merasakan perbezaan karektor antara bapanya itu dengan bapa rakan-rakannya yang rata-ratanya terbabit dalam profesion profesional.

“Apa yang saya dapati, karektor bapa ini cukup sempoi dan istimewa kerana dia tidak terlalu serius sehinggakan dia boleh saja naik pengangkutan awam membuatkan dirinya cukup tersendiri.

“Malah, ayah juga cukup menekankan amalan membaca buku terutama dalam subjek Inggeris kerana menyedari kepentingan bahasa Inggeris sebagai pegangan untuk berjaya dalam hidup. Selepas memikirkan semua cara yang cuba dilakukan ayah selama ini, barulah saya sedar memang benar apa yang cuba dilakukannya untuk memastikan kejayaan anak-anak,” kata pelajar cemerlang yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), akhir tahun ini.

Andai abang dan kakaknya lebih cenderung dalam bidang seni lukis, Jiji pula memilih cabang seni berbeza dengan merancang untuk meluaskan minat dalam bidang penulisan. Ketika ini, dia cuba menyiapkan buku ketiga yang berkisar mengenai dunia remaja dan fantasi yang dikarang dalam bahasa Inggeris.

Kata Jiji, minatnya dalam penulisan cerpen juga banyak didorong keluarga terutama bapanya yang turut aktif mengarang buku kanak-kanak berserta dengan ilustrasi.

Sejak menghasilkan karya pertama pada usia 13 tahun dengan menerusi judul ‘The Curse of the Magic Meteor’, Jiji kini merancang untuk menghasilkan sebuah buku 30 bab yang bakal dibukukan seperti dijanjikan Yusof Gajah.

“Jika dulu memang saya juga minat melukis, tetapi sejak menetap di asrama saya lebih minat untuk menulis. Kalau cita-cita pula, saya berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang biologi,” kata anak muda bercita-cita tinggi ini.

Monolith Garden Oslo

Monolith Garden Oslo
sejok/// minus 10

elephantoidea

elephantoidea

Followers