Friday, May 30, 2008

CITRA NAIVE MALAYSIA

Menghampiri penghujung dekad pertama alaf 2000 ini, kerja-kerja seni catan lebih daripada dua puluh orang pelukis gaya naive Malaysia diperagakan dalam satu pemeran besar. Pameran dengan tema Malaysia Naive Art Showcase 2008 adalah suatu pameran penting yang memperlihatkan perkembangan muktahir seni catan tanah air di alaf 2000.
Pameran berkumpulan seni catan naive pertama di Malaysia telah diadakan pada tahun 1998 yang hanya diwakili oleh empat pelukis gaya naive Zila Zain, Shima, Azmi S.H dan Yusof Gajah. Pameran naive kedua telah berlangsung pada tahun 2001 di mana Yusof Gajah bergandingan dengan Mat Dollah dan Adeputra dengan tema Appear Innocent. Kedua-dua pameran naive telah diusahakan oleh Yusof Gajah. Selepas pameran ini berakhir pelukis-pelukis naive yang terlibat dalam kedua-dua pameran ini membawa haluan masing-masing menghidupkan citra naive secara bersendirian. Namun atas usaha Yusof Gajah pelukis unggul Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bapa Pelukis Naive Malaysia, beliau sekali lagi telah mengikhtiarkan kesinambungan pameran penting ini.
Tujuan utama pameran Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini pertamanya adalah untuk meletakkan seni catan gaya naive dilandasan yang sewajarnya sebagai suatu pergerakan seni yang penting dalam perkembangan seni catan tanah air. Selama ini seni catan gaya naive di Malaysia bukan sebahagian daripada arus perdana seni catan kontemporari tanah air. Seni catan gaya naive tidak mendapat tempat malah tidak diiktiraf dengan sewajarnya. Keadaan ini berlaku antaranya disebabkan oleh sifat karya seni catan gaya naive yang dipersepsikan sebagai gaya seni catan yang kebudak-budakan dengan penampilan citra yang tidak serius lagi terlalu “mudah” sifatnya. Ringkasnya karya-karya gaya naive sebegini dilihat sebagai gaya karya seni catan yang tidak mencabar dengan alasan ia boleh dilakukan, dicipta, direka oleh sesiapa sahaja. Tetapi realitinya membuktikan seni catan gaya naive tidak mudah dilakukan. Ia turut mempunyai ramuan-ramuan formalistik seni catan yang harus dipelajari, dilatih sebelum dapat dikuasai. Menghasilkan karya gaya naive memerlukan ketrampilan, kemahiran yang bukan sedikit. Ini hakikat yang perlu diterima.
Pameran Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini memperagakan kepelbagaian karya-karya citra naive. Kepelbagaian citra naive dapat dilihat dari pengolahan subject-matter dalam kemeriahan pesta warna-warni yang kelihatan bagai tidak berkesudahan. Citra lanskap gaya naïve ditampilkan antaranya dengan banjaran gunung, bukit bukau beralun yang dipenuhi dengan hutan rimba, ladang pertanian serta aliran sungai, takungan air di kolam, tasik dan pemandangan tepi laut. Mergastua yang berkeliaran di udara, darat dan air menambahkan lagi keasyikan citra gaya naïve ala romantism. Khalayak di bawa ke alam fantasi yang dipenuhi dengan spektrum warna-warna segar, ceria yang kelihatan begitu dekat tetapi realitinya tidak begitu.

Gaya penceritaan secara visual turut menambah keragaman citra gaya naïve dapat dilihat dalam pameran ini. Kemeriahan, kesibukan suasana kehidupan di luar bandar dan bandar dengan pelbagai aktiviti turut dirasai malah dapat diidentifikasikan dengan mudah kerana citra naïve yang dipaparkan mewakili sebahagian daripada pengalaman yang pernah kita semua lalui pada masa kini dan masa lalu. Persembahan visual gaya penceritaan secara ini mencetuskan kenangan-kenangan silam dalam bentuk nostalgia emotif yang memudahkan kefahaman serta apresiasi terhadap karya-karya gaya naive.

Menerusi Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini terkesan dengan jelas unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara yang secara ketara sekali dapat mencipta identiti gaya naive Malaysia. Citra rumah-rumah lama Melayu tradisional, pengolahan caragaya kehidupan masyarakat pribumi seperti kelompok etnik Bajau di Sabah. Bangunan-bangunan rumah kedai yang dibina sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua yang kini menjadi sebahagian daripada warisan sejarah seni bina tanah air di olah secara naïve menjadikan citra karya nampak nyata dan bukan kesan daripada ekspresi imaginasi melulu tanpa rujukan.

Unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara gaya naive ini adalah citra yang wajar sekali diteruskan, dimantapkan malah diperkasakan bagi memperlihatkan kelainan, keunikan serta dapat menjadi identiti citra gaya naive Malaysia. Orientasi pengolahan, persembahan subject-matter citra gaya naive yang begitu terperinci sifatnya adalah suatu kelebihan yang membolehkan unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara dicipta, diolah secara kreatif. Banyak lagi unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara yang masih menunggu untuk diterokai secara visual bagi meneruskan kelangsungan seni catan gaya naïve Malaysia yang lebih kreatif dan segar. Ini adalah cabaran yang menyediakan ruang bagi pelukis gaya naïve Malaysia.

Prof . Madya Mahzan Musa

Jabatan Psikologi & Kaunseling

Kolej Sastera & Sains

Universiti Utara Malaysia

Sintok, 06010

Kedah Darul Aman

16 April 2008

No comments:

Monolith Garden Oslo

Monolith Garden Oslo
sejok/// minus 10

elephantoidea

elephantoidea

Followers